Tuesday, April 9, 2013

Cerpen Kasih Anak

Selesai menghadiri majlis kenduri saudaranya, Salahuddin segera pulang ke rumah ibu bapanya. Bapa Salahuddin sudah 2 minggu demam, dan masih belum sembuh. Sesampainya di rumah ibu bapanya, Salahuddin dan isterinya segera mempersiapkan peralatan mandian dan memanaskan makanan yang dibawa sebelum disuapkan kepada ibunya yang lumpuh. Sementara itu, Salahuddin sibuk memeriksa keadaan bapanya yang masih belum sihat. Sudah dua minggu bapanya demam. Mereka tinggal berdua sahaja di banglo itu. Memandangkan bapanya pula telah sakit, agak sukar untuknya menguruskan keperluan ibunya seperti menyuapkan makanan.


"Abah dengan mak ikut Salahuddin balik Mersing ya. Nanti kalau dah sihat baliklah semula ke sini", kata Salahuddin. 

Dia bukan apa, dia sangat risau melihat keadaan orang tuanya yang sedang sakit itu. Jika dibiarkan mereka tinggal berdua di rumah itu, adalah amat merisaukan. Sebenarnya sudah banyak kali Salahuddin mengajak ibu bapanya tinggal bersama dengannya. Tetapi ibu bapanya tidak bersetuju.

"Kau bawa mak sahajalah pulang ke Mersing. Abah boleh tahan lagi ni", jawab abahnya.

Salahuddin kelihatan kecewa sedikit. Tetapi dia lega kerana sekurang-kurangnya ibunya akan mengikutnya pulang.

Tiba-tiba sebuah kereta meluncur masuk ke perkarangan banglo tersebut. Kelihatan seorang lelaki berwajah kacak bersama isteri dan anak-anaknya keluar dari kenderaan pacuan empat roda itu. Lelaki itu adalah Fateh, anak kedua yang merupakan adik kepada Salahuddin. Mereka juga baru sahaja sampai dari tempat kenduri saudaranya.

Fateh segera mendapatkan ibu bapanya untuk melihat keadaan kesihatan mereka.

"Abah ikut Fateh balik Johor Bahru ya. Abah dengan mak sekali. Dua-dua duduk rumah Fateh. Nanti dah sihat, abah baliklah semula. Nanti kat sana ada Fateh dan Aina boleh jaga", kata Fateh tiba-tiba.

"Dah ajak dah tadi Fateh. Abah tak nak. Dah beritahu dah, nanti dah sihat baliklah semula. Fateh bawa abah balik, Fatimah bawa mak", tiba-tiba sayup kedengaran suara Fatimah, isteri Salahuddin dari dapur.

"Tak apalah Fateh. Abah boleh duduk sini", jawab abahnya.

Keadaan sepi seketika. Salahuddin dan Fatimah sibuk menyiapkan barang untuk mandian ibunya. Kemudian mereka memandikan dan mempersiapkannya.
Pada ketika itu, Fateh dan isterinya sedang bersiap untuk menunaikan fardhu zuhur.

Selesai solat, Fateh kembali mendapatkan abahnya.

"Abah ada cek kencing manis tak?", tanya Fateh tiba-tiba.
"Biar Fateh cekkan", sambung Fateh sambil segera mendapatkan peralatan untuk memeriksa kandungan gula dalam darah.

Tiba-tiba.......................
"Tinggi ni abah. Sampai tak boleh baca. Abah ada makan ubat tak? ", tanya Fateh penuh kerisauan.

"Abah tak makan kadang-kadang", jawab bapanya.

Pada ketika itu juga matanya tertumpu kepada sebuah botol plastik yang berisi air bikarbonat, yang diketahui sangat tinggi kandungan gulanya.

"Abah, tak boleh minum air ni abah. Bahaya. Kandungan gulanya sangat tinggi. Ubat pun abah kena makan ikut jadual ya. Bahaya untuk buah pinggang nanti, kalau diabaikan", Fateh memberi penerangan dengan lemah lembut.

"Betul tu abah. Abah lepas ni dah jangan minum ya, air gas tu. Tak elok tu. Ya abah?", Salahuddin menyambung lembut.

"Baiklah. Bukan apa, air gas tu sedappp", kata abah.

Semua yang mendengar jawapan abah tu segera ketawa kecil.

Setelah segalanya selesai, Fateh segera pulang ke Johor Bahru atas tuntutan kerja. Salahuddin pula keluar sebentar untuk membeli barangan keperluan sebelum menjemput ibunya untuk dibawa pulang ke Mersing.

Sesampainya di rumahnya di Johor Bahru, Fateh segera menelefon salah seorang adiknya dan berpesan supaya tengok-tengokkan bapanya. Jangan berinya minum apa-apa air yang tinggi gula. Fateh sangat risau memikirkan keadaan bapanya.
Sebenarnya, tanpa Salahuddin dan Fateh sedari, rupa-rupanya semua tindak-tanduk mereka diperhatikan oleh anak-anak mereka. Anak-anak mereka berasa kagum dengan cara ibu bapa mereka melayan datuk nenek. Timbul di hati anak-anaknya untuk menjadi seperti ibu bapanya nanti. Menjaga orang tuanya dengan penuh kasih sayang dan sabar. Berusaha menyenangkan hati mereka terutamanya dihari tua mereka nanti.

Rasa kagum yang amat menyebabkan timbul kesyukuran dihati anak-anak ini terhadapat Allah swt dengan kurniaan ibu bapa dan ibubapa saudara yang sangat baik. Mereka merasa sangat bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga ini. Terasa sangat bersyukur kepada Allah swt kerana memilih ibu bapa seperti Salahuddin, Fateh, Fatimah dan Aina sebagai ibu bapa mereka. 

Tiba-tiba mereka merasakan teringin memberi sesuatu kepada ibu bapa mereka sebagai tanda kagum dan syukur. Namun anak-anak ini tidak punya apa-apa yang mampu diberikan. Ingin diberikan harta, ibu bapa mereka sudah semestinya mempunyi lebih banyak harta. Ingin diberikan hadiah. Merasakan tiada hadiah yang sebanding dengan pengorbanan ibu bapa ini. Dan akhirnya baru mereka teringat bahawa mereka ada satu senjata yang sangat berharga. Iaitu DOA. Ya, DOA. Dengan penuh pengharapan mereka mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan ibubapa saudara mereka untuk hidup di dunia dan akhirat. Mereka mendoakan supaya orang2 tuanya akan sentiasa mendapat layanan yang sangat baik daripada anak2nya. Mereka berharap tidak akan pernah timbul rasa sedih dan susah dihati orang2 tuanya terutamanya di hari tua mereka. Dan mereka sentiasa berdoa supaya mereka menjadi anak2 yang soleh dan solehah yang akan membahagiakan kedua orang tua mereka di dunia dan akhirat.

p/s: Betapa pentingnya kita menunjukkan tauladan yang baik terhadap orang yang lebih muda. Anak-anak muda akan mudah mengikut perbuatan kita berbanding kata-kata kita. Jika kita menasihati mereka supaya menghormati orang tu, sedangkan kita sendiri tidak menghormati orang tua, ibarat seperti "Ketam mengajar anak berjalan lurus". Pepatah Inggeris ada mengatakan "Action speak louder than words".