Sunday, January 6, 2013

Tangga2 Kejayaan

Mengapakah dibincangkan tentang tangga-tangga kejayaan? Tangga-tangga kejayaan ini adalah sambungan daripada kisah semalam yang mengajak bersama-sama membina diri dan seterusnya melahirkan generasi yang hebat.

Untuk melahikan generasi yang hebat, segalanya perlu bermula dengan diri kita sendiri, sebagai INDIVIDU MUSLIM. Tak perlu menuding jari kepada orang lain. Sebagai individu muslim, kita mesti selalu berusaha mendekatkan diri dengan Allah. Mentaati perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. 

Bermulanya dari pihak individu ini, kita boleh dididik dengan pelbagai cara. Contohnya menyertai usrah atau berada dalam jemaah Islam. Amat penting untuk kita berada dalam kelompok ini, kerana jika kita lupa, akan ada yang mengingatkan. Sedangkan perkataan 'manusia' itu asalnya dari 'nasia' iaitu bermaksud lupa. Kita memang selalu lupa. Sebab itulah kita perlu sentiasa diingatkan, sama ada dengan peringatan Allah dalam al-Quran, hadis Nabi saw atau melalui sahabat-sahabat yang soleh.

Pernah dengarkan ubat hati tu apa? Ubat hati ada lima iaitu:-
1- Baca al-quran dan maksudnya
2- Dirikanlah solat malam
3- Berkumpul dengan orang-orang soleh
4- Selalu berpuasa
5- Selalu berzikir


Dengan berjayanya kita mendidik diri kita dan merawat hati kita, InsyaAllah tangga kedua kejayaan pula cabaran kita. Tangga kedua adalah BAITUL MUSLIM. Melalui dua individu muslim yang baik, maka lebih mudahlah untuk membina baitul muslim yang merupakan tingkat kedua kejayaan. Di peringkat ini, peranan ibu bapa sangatlah penting dalam membina sahsiah dan jati diri anak-anak supaya teguh iman dan taqwanya kepada Allah. Maka, lahirkan sebuah keluarga yang menjalankan nilai-nilai Islam dan takut kepada Allah. Jika banyaknya baitul muslim ini, maka akan terbinalah MASYARAKAT MUSLIM. Bayangkan di semua perkampungan atau tempat di negara ini mengamalkan cara hidup Islam, maka mudahlah untuk membina KERAJAAN ISLAM, yang merupakan tingkat ke-4 kejayaan. Berkumpulnya kerajaan Islam, akan terhasillah DAULAH ISLAM dan seterusnya EMPAYAR ISLAM. Empayar Islam yang dulunya kukuh dan hebat seperti zaman pemerintahan Khulafa ar-rasyidin, Umayyah, Abassiyah, Uthmaniyyah. Dan akhir sekali dapatlah Islam menjadi USTAZIYATUL ALAM, iaitu umat Islam menjadi sumber ilmu dan rujukan di seluruh pelusuk dunia. Ini pernah berlaku semasa zaman pemerintahan Abassiyah di mana pelbagai cabang ilmu di kembangkan oleh orang-orang Islam.




Maka, marilah kita sama-sama berusaha menjadi INDIVIDU MUSLIM itu. Muslim yang taat kepada Allah dan Rasul serta menjalankan kehidupan berpandukan al-Quran dan Hadis. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Cuba hayati hadis ini..

“Akan datang pada suatu masa, musuh-musuh kamu mengerumuni kamu sepertimana berkumpulnya mereka kepada satu hidangan. Mereka (Para Sahabat) pun berkata, ‘Adakah bilangan kami ketika itu sedikit? Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seperti buih-buih dilautan (tiada nilai) dan Allah akan mencabut perasaan gerun di hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit Al Wahn”.
Sahabat pun bertanya, “Apakah penyakit Al Wahn itu wahai RasulAllah?
Rasulullah S.A.W bersabda, “Cintakan dunia dan takutkan mati”. (Riwayat Ahmad & Tarmizi)


Sedih bila membayangkan aku adalah hamba yang hidup pada zaman yang disebutkan Rasulallah. Ya! Inilah zamannya. Di mana, kita dengan mudah diinjak-injak oleh orang kafir. Lihatlah yang terjadi di Palestin, Syria dan umat-umat Islam seluruh dunia. Sebab apa? Sebab silap kita sendiri. Kita lalai dengan keindahan dunia.  Moga-moga kita dijauhkan dari sifat 'Cintakan dunia dan takutkan mati'..Amin Ya Rabb. Maka, marilah kita sama-sama muhasabah diri kita dan berusaha melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

JOM...!!! EITHER WE MAKE HISTORY OR WE BECOME HISTORY..!!!

0 comments:

Post a Comment