Monday, May 6, 2013

I love Islam

PRU 13 sudah melabuhkan tirainya. Walaupun begitu, bahang panasnya masih ada sehingga saat ini.Ibarat peribahasa "rumah siap, pahat berbunyi". Pelbagai cerita dan desas desus timbul tentang pilihanraya ini. Sama ada berkaitan penipuan, ketidaktelusan SPR, terputus bekalan elektrik dan sebagainya. Desas-desus ini amat hangat diperkata dan diperbincangkan di media-media sosial seperti 'facebook' dan 'twitter'. Aku tidak mahu mengutarakan tentang pemasalahan-pemasalah tersebut, kerana aku pasti orang-orang di luar sana lebih mengetahui maklumat-maklumat berkaitan perkara ini.

Apa yang ingin aku luahkan di sini adalah kesedihan yang aku rasakan setelah membaca komen-komen dan status pasca PRU13 di facebook. Benarlah aku merasakan jika aku 'deaktif' facebook akan membuatkan hatiku lebih tenang dan bersih dari persangkaan buruk dan cacian. Tetapi itu hanyalah dari sudut pandangan diriku sendiri. Aku memahami, setiap individu mempunyai fikrah yang berbeza. Ada yang kuat dan ada yang lemah jati dirinya. Cumanya aku adalah hamba yang lemah dan masih belajar untuk mendidik hati, jadi kadang-kadang aku perlu menjauhkan diri dari pengaruh-pengaruh luar yang mampu mengotori hatiku. 
Namun begitu, disebabkan kehangatan PRU 13, aku agak kerap mengunjungi laman facebook akhir-akhir ini, untuk mengetahui situasi dan keadaan semasa dari sudut sosial. Akhirnya setelah rasmi keputusan diumumkan pelbagai maklumbalas dan komen dapat dibaca di facebook. Pelbagai komen dan jenis pandangan dibaca, ada yang gembira, ada yang bersangka baik, ada yang tidak berpuas hati, mencerca dan menghina. Melihatkan fenomena ini, tanpa dapat ditahan lagi, aku mula menangis kerana melihatkan umat Islam seolah-olah bergaduh sesama sendiri. Apa yang aku benar-benar inginkan adalah umat Islam bersatu, mengukuhkan Islam di bumi Malaysia, menegakkan hukum-hukum Allah dan pemimpin berusaha mendidik rakyat menjadi rakyat yang baik untuk dunia dan akhirat.

Namun begitu, melihatkan fenomena pasca PRU 13 ini di facebook, aku menangis. Aku berasa sangat-sangat takut terjadinya perpecahan umat Islam. Aku takut orang-orang kafir bertepuk tangan dan bersorak melihatkan keadaan ini. Aku khuatir perkara-perkara yang pernah terjadi kepada kerajaan Abbasiyyah, Utmaniyyah berulang kembali. Jadi aku sangat berharap umat Islam bersatu mengukuhkan institusi Islam. Sama-samalah kita mempelajari dan mengkaji sejarah. Sekurang-kurangnya sejarah kegemilangan Islam dan bagaimana kerajaan yang kukuh dan hebat ini boleh jatuh tersungkur sehingga mereka tidak mampu bangun lagi sejak 1924 sehingga sekarang. Sejak itu, umat Islam selalu ditindas oleh orang-orang kafir. Lihatlah bagaimana keadaan saudara kita di Palestine, Rohinya, Syira, selatan Thailand, Bosnia dan sebagainya.
Kepada kerajaan baru yang terbentuk pada hari ini, marilah sama-sama kita doakan supaya mereka mampu menegakkan Islam di bumi Malaysia. Bersamalah kita berdoa supaya Allah memberi hidayah kepada semua pemimpin dan rakyat Malaysia. Sama-samalah berdoa supaya Allah membuka hati orang yang salah untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Aku hanyalah hamba Allah yang hina. Aku tidak mempunyai harta untuk berbangga, aku tidak punya ilmu untuk diumbar-umbarkan, aku bukanlah seorang yang suci dari dosa dan noda. Tetapi aku hanyalah hamba yang sedang berusaha mendidik dan menjaga hati, yang amat-amat mencintai Allah dan Rasulullah. Dan aku sangat cintakan agama ISLAM ku dan aku amat menyayangi saudara-saudara seISLAM ku. Aku inginkan kejayaan Islam dimuka bumi ini. Amin Ya Rabb.

p/s: TOLONGLAH merajinkan diri membaca buku-buku sejarah kegemilangan dan kejatuhan Islam. Mungkin kita kena berubah, daripada membaca novel-novel yang tidak berfaedah kepada buku sejarah umat manusia, atau sekurang-kurangnya sejarah ISLAM. Percayalah, di dalam itu kamu akan menemui pelbagai pengajaran yang boleh diambil. Perkara yang telah berlaku di zaman silam, mungkin berulang kembali di zaman kini. Jangan benarkan sejarah buruk berulang kembali, tetapi marilah mengulangi kembali sejarah-sejarah kegemilangan mereka.

**Aku sangat risau akan keadaan seperti yang disabdakan nabi ini  =''(

Sumber: http://apanamadotcom.wordpress.com/2011/04/30/umat-islam-ibarat-buih-buih-muslim-demographics-in-europe/

1 comments:

Unknown said...

izin share gambar admin

Post a Comment