Monday, May 6, 2013

I love Islam

PRU 13 sudah melabuhkan tirainya. Walaupun begitu, bahang panasnya masih ada sehingga saat ini.Ibarat peribahasa "rumah siap, pahat berbunyi". Pelbagai cerita dan desas desus timbul tentang pilihanraya ini. Sama ada berkaitan penipuan, ketidaktelusan SPR, terputus bekalan elektrik dan sebagainya. Desas-desus ini amat hangat diperkata dan diperbincangkan di media-media sosial seperti 'facebook' dan 'twitter'. Aku tidak mahu mengutarakan tentang pemasalahan-pemasalah tersebut, kerana aku pasti orang-orang di luar sana lebih mengetahui maklumat-maklumat berkaitan perkara ini.

Apa yang ingin aku luahkan di sini adalah kesedihan yang aku rasakan setelah membaca komen-komen dan status pasca PRU13 di facebook. Benarlah aku merasakan jika aku 'deaktif' facebook akan membuatkan hatiku lebih tenang dan bersih dari persangkaan buruk dan cacian. Tetapi itu hanyalah dari sudut pandangan diriku sendiri. Aku memahami, setiap individu mempunyai fikrah yang berbeza. Ada yang kuat dan ada yang lemah jati dirinya. Cumanya aku adalah hamba yang lemah dan masih belajar untuk mendidik hati, jadi kadang-kadang aku perlu menjauhkan diri dari pengaruh-pengaruh luar yang mampu mengotori hatiku. 
Namun begitu, disebabkan kehangatan PRU 13, aku agak kerap mengunjungi laman facebook akhir-akhir ini, untuk mengetahui situasi dan keadaan semasa dari sudut sosial. Akhirnya setelah rasmi keputusan diumumkan pelbagai maklumbalas dan komen dapat dibaca di facebook. Pelbagai komen dan jenis pandangan dibaca, ada yang gembira, ada yang bersangka baik, ada yang tidak berpuas hati, mencerca dan menghina. Melihatkan fenomena ini, tanpa dapat ditahan lagi, aku mula menangis kerana melihatkan umat Islam seolah-olah bergaduh sesama sendiri. Apa yang aku benar-benar inginkan adalah umat Islam bersatu, mengukuhkan Islam di bumi Malaysia, menegakkan hukum-hukum Allah dan pemimpin berusaha mendidik rakyat menjadi rakyat yang baik untuk dunia dan akhirat.

Namun begitu, melihatkan fenomena pasca PRU 13 ini di facebook, aku menangis. Aku berasa sangat-sangat takut terjadinya perpecahan umat Islam. Aku takut orang-orang kafir bertepuk tangan dan bersorak melihatkan keadaan ini. Aku khuatir perkara-perkara yang pernah terjadi kepada kerajaan Abbasiyyah, Utmaniyyah berulang kembali. Jadi aku sangat berharap umat Islam bersatu mengukuhkan institusi Islam. Sama-samalah kita mempelajari dan mengkaji sejarah. Sekurang-kurangnya sejarah kegemilangan Islam dan bagaimana kerajaan yang kukuh dan hebat ini boleh jatuh tersungkur sehingga mereka tidak mampu bangun lagi sejak 1924 sehingga sekarang. Sejak itu, umat Islam selalu ditindas oleh orang-orang kafir. Lihatlah bagaimana keadaan saudara kita di Palestine, Rohinya, Syira, selatan Thailand, Bosnia dan sebagainya.
Kepada kerajaan baru yang terbentuk pada hari ini, marilah sama-sama kita doakan supaya mereka mampu menegakkan Islam di bumi Malaysia. Bersamalah kita berdoa supaya Allah memberi hidayah kepada semua pemimpin dan rakyat Malaysia. Sama-samalah berdoa supaya Allah membuka hati orang yang salah untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Aku hanyalah hamba Allah yang hina. Aku tidak mempunyai harta untuk berbangga, aku tidak punya ilmu untuk diumbar-umbarkan, aku bukanlah seorang yang suci dari dosa dan noda. Tetapi aku hanyalah hamba yang sedang berusaha mendidik dan menjaga hati, yang amat-amat mencintai Allah dan Rasulullah. Dan aku sangat cintakan agama ISLAM ku dan aku amat menyayangi saudara-saudara seISLAM ku. Aku inginkan kejayaan Islam dimuka bumi ini. Amin Ya Rabb.

p/s: TOLONGLAH merajinkan diri membaca buku-buku sejarah kegemilangan dan kejatuhan Islam. Mungkin kita kena berubah, daripada membaca novel-novel yang tidak berfaedah kepada buku sejarah umat manusia, atau sekurang-kurangnya sejarah ISLAM. Percayalah, di dalam itu kamu akan menemui pelbagai pengajaran yang boleh diambil. Perkara yang telah berlaku di zaman silam, mungkin berulang kembali di zaman kini. Jangan benarkan sejarah buruk berulang kembali, tetapi marilah mengulangi kembali sejarah-sejarah kegemilangan mereka.

**Aku sangat risau akan keadaan seperti yang disabdakan nabi ini  =''(

Sumber: http://apanamadotcom.wordpress.com/2011/04/30/umat-islam-ibarat-buih-buih-muslim-demographics-in-europe/

Thursday, May 2, 2013

HAQ tetap akan MENANG

Yang haq tetap haq, yang batil tetap batil.
Yang haq pasti akan menang, yang batil akan jatuh tersungkur
Aku menyokong yang haq, aku membenci yang batil.
Aku mengundi yang haq, aku menyingkir yang batil

Di kala demam-demam pilihanraya ini, aku terpanggil untuk meluahkan sedikit fikrah ku.
Sekarang ni bukan sahaja dilanda demam PRU 13, malah sachiko kucing kesayanganku yang aku panggil "Sachiko gedik" pun tengah demam panas. Ibu dah pun membawanya ke klinik. Macam-macam jenis ubat yang diberikan doctor. Nasiblah Sachiko. Memang terpaksalah hang makan ubat. Dan terpaksalah ibu bekerja keras menyuap ubat kepadanya (bukan senang kot +_+). Ok lah, terkeluar topik pula.

PRU 13 ini menampakkan perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan PRU yang sebelum ini. Sebagai contoh, dengan penglibatan ISMA sebagai BERJASA yang turut bertanding. Apa yang menarik tentang ISMA? Pada pendapat aku, ISMA menghantar calon-calon yang beribawa dan berfikrah Islami. Mereka juga bertanding di kawasan yang hanya ditandingi oleh calon bukan Islam. Jadi, pada pendapat aku, amatlah perlu untuk pengundi-pengundi muslim mengundi calon-calon ISMA ini. Tambahan lagi penglibatan banyak calon-calon bebas sehingga ada pertandingan tujuh penjuru. Agak mengejutkan.

Selain itu, PRU 13 juga menampakkan saingan yang agak sengit di antara dua kumpulan yang besar iaitu BN dan PR. Kedua-duanya menghantar calon-calon mereka untuk dipertandingkan. Ada sesetengah pihak mengatakan walau apapun terjadi, undilah PR. Tetapi, aku mempunyai pandangan yang berbeza. Aku lebih suka melihat siapakah calon yang diletakkan untuk bertanding itu. 

Adakah calon itu beribawa?
Adakah dia layak sebagai seorang pemimpin?
Adakah dia adil?
Jika dia pernah menjadi ketua, bagaimanakah layanannya terhadap orang bawahannya?
Adakah dia mampu mengawal amarahnya?
Adakah dia gila kuasa atau terlalu mengejar jawatan?
Jika dia Islam, bagaimanakah dia menjaga agamanya?
dan pelbagai lagi..

Pada pendapat aku ciri-ciri seperti ini amat perlu ada terhadap seseorang pemimpin yang dipilih. Maka, aku lebih senang mengambil pendekatan untuk mengkaji dan menyiasat sahsiah dan peribadi calon-calon yang bertanding. Aku tidak akan sekali-kali membuta tuli memangkah hanya kerana kepartian. Tidak sekali-kali.


Untuk menjalankan penyiasatan ini, Alhamdulillah, aku dipermudahkan oleh Allah. Kebetulan kedua-dua calon muslim yang bertanding dikawasan parlimen ku amat dikenali oleh bapaku dan orang-orang terdekat yang boleh dipercayai. Aku menyiasat sahsiah calon-calon ini melalui mereka. Aku lebih suka mengambil pendekatan seperti ini berbanding hanya 'google' atau 'facebooking'. Ini kerana aku melihat di zaman ini terlalu banyak penipuan dan fitnah yang berlaku. Sehingga sukar untuk aku membezakan siapa yang berada di pihak yang benar atau salah. Zaman ini aku menemui ramai yang seolah-olah tidak takut mengeluarkan kata-kata yang tidak benar. Malah ada yang tanpa usul periksa menyebarkannya melalui 'facebook'. Jadi, kesimpulannya aku memang tidak mempercayai mana-mana pihak sewenang-wenangnya terutamanya jika orang yang tidak aku kenali.

Selain itu dalam penyiasatan ini, aku melihat peribadi orang yang menyampaikan berita itu. Jika aku mengenalinya sebagai seorang yang tidak menepati masa, tidak melakukan amanah dan tugasnya dengan baik, tidak tahu menghormati hak orang lain, atau hanya 'baik' melalui status-status 'facebook' sedangkan di luar........... biasanya aku tidak mudah mempercayainya. Jadi, penelitian-penelitian ini InsyaAllah telah dilakukan.

Alhamdulillah setelah melakukan penelitian demi penelitian, yang juga dibantu oleh adikku... kami kini lebih yakin untuk memilih. Kami telah membuat keputusan, siapakah yang akan kami undi sebagai pemimpin kami. Orang yang akan membawa suara kami ke parlimen. Orang yang akan kami beri mandat untuk memerintah di kawasan kami. InsyaAllah. Buatlah pilihan yang terbaik. Kajilah dahulu siapakah sebenarnya diri calon yang bertanding itu. Ingatlah, undi kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

p/s: Tetiba promote BERJASA pula kat sini. Tapi di kawasanku tiada calon BERJASA. ehee. Walau apapun, UNDILAH CALON YANG BERIBAWA^^v