Thursday, December 23, 2010

Ikan Sisa Nabi

Sebenarnya dah lama aku mencari ikan sebelah ini. Dulu, semasa mengikut ibu ke pasar, ibu pernah berkata, ada sejenis ikan yang badannya sebelah sahaja. Ini adalah kerana sejarahnya ikan ini pernah dimakan oleh nabi, pada sebelah bahagian badannya. Dan sebelah bahagian lagi tidak dimakan, malah dilepaskan semula ke lautan. Oleh kerana merasa agak terpegun dengan cerita ini, aku mula mencari bagaimana rupa ikan ini sebenarnya. Jangan tak percaya, setiap kali ke pasar, aku pasti akan membaca tag2 pada ikan untuk mengetahui nama2 ikan. [tapi sampai sekarang tak berapa kenal jenis2 ikan..hehe]. Semata-mata nak mencari ikan ini. Tapi aku tetap tidak dapat menjumpainya secara pasti.

Tetapi, akhirnya tadi semasa ke Econsave Kota Tinggi, membeli ikan dan sayuran, aku jumpa ikan ni. Aku mula membelek-belek ikan ini. Memang menakjubkan. Kuasa Allah. Ikan ini benar-benar mempunyai satu bahagian badan sahaja. Mata ikan ini pun ada satu sahaja. Mulut pun di satu bahagian sahaja. Sangat gembira dapat jumpa ikan ini. Dah bertahun aku nak kenal ikan ni tau. Oleh kerana terlalu excited, aku pun menangkap gambar ikan ni menggunakan hp aku. Hehe. Tapi aku tak pernah makan ikan ini. Macammana ya rasanya? Huhu. Sebenarnya takut nak makan ikan ni, sebab nampak pelik. huhu. Lagipun aku ni memang susah sikit nak makan benda-benda yang tidak diajar oleh ibu bapaku. Ibu tidak pernah pun masak ikan ni. 
p/s: Hari ini seronok sangat. Sebab adik lelaki bosnia ku telah berjaya mendapat 8A dalam PMR nya. Tahniah!

Lagi info tentang ikan sebelah ==> 1, 2

Aku Kena Kuat!

Aku kena kuat!
Bersihkan hatiku dari segala dosa dan noda
kerana setiap dosaku
telah meniggalkan satu titik hitam
di dalam hatiku

Aku kena kuat!
Kerana dengan kehadiran titik2 ini
aku merasakan tidak tenteram
aku rasakan jiwaku begitu kotor sekali
Solatku, aku rasa sungguh tidak sempurna
seperti ada sesuatu yang hilang daripadanya

Aku kena kuat!
Sekeras usahaku mencuci kembali
noda-noda hitam dalam hatiku
titik hitam yang aku contengkan sendiri
kerana kejahilanku
dan khilafanku

Kini aku sedar...
terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan
terlalu jauh aku telah terpesong dari jalanmu
sehingga sukar untuk ku merasakan kemanisan iman itu
sukar untuk aku khusyuk
pabila mengadapMu

Ya Allah
dengan penuh rasa rendah diri
dan rasa malu yang tinggi
aku mohon kepadamu
AMPUNKAN SEGALA DOSA-DOSAKU
BUKAKANLAH PINTU TAUBAT UNTUKKU
DAN TERIMALAH TAUBATKU
sesungguhnya hanya Engkau sahaja
yang mampu memberikanku Hidayah kepadaku

Kini aku sedar...
aku tidak mampu berjauhan dariMu
hidupku sangat tidak tenteram
hati dan jiwaku kacau!
aku memerlukanmu disetiap langkahku
memimpinku dan membantuku
menjalani hidup dialam fatamorgana ini
untuk menuju ke destinasi pasti
iaitu padaMu jua.

"Ya Allah, timbulkanlah rasa takut dihatiku kepadaMU. Timbulkanlah rasa takut dihatiku jika aku ingin melakukan dosa. Timbulkanlah rasa takut dihatiku pada AZAB API NERAKAMU"

"Ya Allah, sesungguhnya aku benar2 MALU padamu. Walaupun aku selalu sahaja meninggalkanMu, Engkau tetap dekat denganku. Memanggilku kembali dan membantuku jika aku kesusahan. ENGKAU tidak pernah jemu mendekatiku walaupun aku selalu khilaf. AMPUNKAN DOSA-DOSAKU YA ALLAH"

“Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Monday, December 13, 2010

Beza Orang Kampung Dan Bandar??

Kenapakah topik ini dikemukakan pada hari ini ya? Sebenarnya aku dah lama nak membincangkan tentang topik ini [sejak balik dari kampung], tetapi tidak berkesempatan. Baru hari ini aku dapat menaip di sini. Aku terfikir untuk mengeluarkan topik ini kerana aku melihat beberapa perbezaan antara orang-orang yang tinggal di bandar dan kampung. Mungkin aku lebih fokus kepada orang-orang muda dan para remaja sahaja. 

Sebenarnya aku dikategorikan sebagai orang bandar. Semenjak kecil aku telah dibesarkan di kawasan bandar. Kalau tak berapa nak bandar pun, adalah pinggir bandar. Aku tidak pernah bersekolah atau tinggal di kawasan kampung. Hanya beberapa ketika sahaja aku akan pulang ke kampungku di Tg Sedili, Kota Tinggi Johor atau Gemencheh, Negeri Sembilan. Ha, rumah atuk dan wan aku memang betul-betul di kawasan kampung. Jadi aku dapatlah juga merasakan suasana di kampung.



Apa ya, yang aku nampak semasa berada di kampung N9? Yang aku tidak nampak di bandar? Pertamanya adalah semasa kenduri-kendara. Memang berbeza sekali. Semasa menghadiri perkahwinan saudara-mara di sana, aku dapat melihat kerjasama dan sikap tolong-menolong antara mereka. Mereka ini bekerja secara sukarela, atas dasar saling membantu dan bergotong-royong. Sebelum majlis pula, jiran tetangga akan datang untuk berkampung dan rewang. Semuanya bekerja tanpa dijanjikan sebarang bayaran. Kadang-kadang aku merasakan inilah istimewanya mereka. Baik lelaki mahupun perempuan. Dan yang aku maksudkan di sini adalah orang muda dan remaja ya. Kalau warga-warga emas mungkin tidak perlu disebut.

Tetapi, apa pula agaknya di bandar? Semasa kenduri-kendara seperti ini? Sebenarnya agak sukar untuk menemui remaja yang bertungkus lumus membantu, melainkan dalam kalangan keluarga penganjur sahaja. Remaja yang tidak mempunyai ikatan kekeluargaan, dan ada juga sesetengah saudara-mara sendiri juga tidak dapat membantu seperti mana yang aku lihat di kampung. Biasanya di bandar, mereka akan mengupah 'catering'. Tetapi, ini jarang berlaku di kampung. Mereka biasanya akan masak sendiri, menyebelih lembu sendiri sekaligus menjimatkan kos. Semua ini dilakukan secara bergotong-royong.

Aku masih ingat lagi semasa majlis kahwin abang aku. Majlis ini dilakukan di rumah aku di Johor Bahru iaitu di kawasan bandar. Kami tidak mengupah 'catering'. Memang tidak dinafikan, di bandar susah nak bergotong-royong mempersiapkan segalanya. Saudara-mara juga berada jauh dan hanya dapat hadir pada hari jumaat atau sabtu. Tetapi kami bernasib baik kerana kami hidup dalam komuniti tentera. Banyak yang dilakukan oleh mereka. Bermula dari memasak, menyusun dewan, membuat pelamin dan akhirnya bertindak sebagai waiter or waitress. Tentera memang selalu hidup bekerjasama. Semasa di UKM pun aku boleh lihat sifat ini daripada palapes. Terima kasih kami ucapkan. Kalau tiada mereka, susah juga kami. 


Apa lagi perbezaan yang aku nampak ya? Mungkin dari segi penampilan. Apa yang beza agaknya? Aku pun tidak tahu nak menerangkannya. Tetapi, aku memang dapat bezakan cara penampilan remaja yang dibesarkan di bandar dan kampung. Nak kata remaja kampung tidak mengikut perkembangan fesyen semasa, tak juga. Mereka juga berfesyen, tetapi mungkin cara berbeza. Aku memang tak tahu bagaimana nak menerangkannya. Tetapi memang ada perbezaan. Secara peribadinya aku berpendapat bahawa orang bandar lebih kelihatan cantik dan lembut. Mungkin cara pendidikan mereka berkaitan etika dari segi  penampilan dan tingkahlaku. Remaja kampung juga bersopan, tetapi penampilan mereka kelihatan agak kasar. 

Persepsi sesetengah orang menganggap, kalau orang bandar sahaja mesti kurang baik. Ada juga yang mengatakan kalau hendak berkahwin, hendak mencari orang kampung. Sebab pandai masak, pandai mengemas, sopan, baik dan macam-macam lagi. Pada pendapatku, persepsi ini hanya boleh digunakan pada zaman dahulu sahaja. Zaman sekarang kurang relevan. Dari segi ini, hampir sama saja orang kampung dan bandar. Di bandar dan kampung, kedua-duanya kita boleh jumpa orang baik dan bersopan, juga orang kurang baik dan melakukan maksiat. 


Hmm. Bagaimana pula dari segi pembelajaran. Adakah pelajar kampung kurang cekap berbanding pelajar bandar? Terutamanya dalam berbahasa Inggeris? Hehe. Yang ini aku tidak tahu nak komen apa. Aku tidak pernah bercampur dengan pelajar-pelajar di kampung. Tapi yang aku nampak, adik-adikku dan anak-anak sepupu2 ku, yang tinggal di bandar agak bijak. Bahasa Inggeris mereka juga baik [lebih baik dibandingkan dengan aku masa kecik-kecik dulu]. Mungkin mereka memang minat belajar. Adik-adikku dah melihat kakak2 dan abang2nya belajar tinggi. Anak2 buah pula melihat ibu bapa dan ibubapa saudara mereka berjaya sebagai guru Bahasa Inggeris, engineer kapal terbang, civil engineer, businessman dan sebagainya. Mungkin itu menjadi sumber inspirasi mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.

Aku rasa, segalanya terletak pada individu itu sendiri. Kalau mereka ingin menjadi baik, rajin, bijak dll, mereka boleh berusaha dan berjaya sama ada tinggal di kampung atau dibandar. Mereka kena bijak mengawal situasi dan adat di tempat mereka tinggal. Bukan hanya mengikut membuta tuli. Tetapi ikut dengan bijaksana. Sekian~

Saturday, December 11, 2010

Perkahwinan Silang Pedang

Kualiti video adalah rendah, kerana menggunakan handphone sahaja.

Selalunya kalau pergi kenduri kahwin pegawai tentera ni, aku hanya pernah tengok istiadat perkahwinan tentera darat sahaja. Tetapi kali ini, lebih istimewa. Tadi pergi kenduri anak Mantan Timbalan Komander Batalion 1 Rejimen Askar Wataniah. Anak TK ni adalah TUDM. Jadi, pakaian diorang berwarna biru, bukannya putih. Putih adalah untuk tentera darat. Tapi, tadi campur dua-dua anggota TDDM dan TUDM, jadi nampak lebih menarik. Hehe. 

Nurul nampaknya begitu 'excited' tengok silang pedang tadi. Mungkin kerana ini pertama kali dia tengok. Dia cakap "Bestnya kahwin macam ni". Aduh, nampaknya salah seorang adikku juga berminat dengan perkahwinan seperti ini. Aku? Aku memang suka dengan istiadat perkahwinan seperti ini, tetapi aku tak kisah pun berkahwin cara biasa sahaja. Hehe.

Bercakap tentang majlis perkahwinan, sudah 4 majlis perkahwinan aku pergi dalam tempoh 3 minggu ni. 2 di Negeri Sembilan, 1 Putrajaya, dan 1 di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru.
[p/s: Agak-agaknya bila aku punya turn pula ye. I wonder. Hee]

Wednesday, December 1, 2010

Di Malam Yang Hening

DOA UNTUK KEKASIH 
"Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah, Seandainya telah engkau catatkan Dia milikku, tercipta buatku... Satukanlah hatinya dengan hatiku. Titipkanlah kebahagiaan antara kami agar kemesraan itu abadi. Ya Allah Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi, Seiringkanlah kami melayari hidup ini, Ke tepian yang sejahtera dan abadi. Maka jodohkanlah kami. Tetapi ya Allah, Seandainya telah engkau takdirkan...Dia bukan milikku bawalah dia jauh dari pandangan ku. Luputkanlah dia dari ingatanku dan peliharalah aku dari kekecewaan. Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti, Berikanlah aku kekuatan menolak bayangannya jauh ke dada langit dan hilang bersama senja yang merah agarku sentiasa tenang walaupun tanpa bersama dengannya. Ya Allah yang tercinta, pasrahkanlah aku dengan takdirMu. Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan adalah yang terbaik buatku. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hamba-Mu ini. Ya Allah... Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku di dunia dan di akhirat. Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang dhaif ini. Janganlah engkau biarkan aku bersendirian di dunia ini mahupun di akhirat, menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran. Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup ke jalan yang Engkau redhai. Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah. Ya Allah, berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka. Amin. Ya rabbal 'aalamiin".
p/s: Just Sharing....Bolehlah mengamalkan doa ni. =)